
Petikan dari Berita Harian Online.
Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@bharian.com.my
2010/04/14
Peniaga dakwa lengang kerana tiada promosi tarik pengunjung
KANGKAR PULAI: Pekan Francais Mara Pulai, Taman Sri Pulai Perdana terletak di lokasi strategik dan sudah beroperasi lebih tiga tahun lalu tetapi kurang mendapat sambutan sekali gus menyebabkan ramai peniaga rugi.
Pekan francais yang dibina dengan keluasan 2.3 hektar dengan kos RM8.8 juta itu bagaikan sebuah pekan mati apabila hanya beberapa lot saja masih aktif berniaga, manakala selebihnya beroperasi mengikut sesuka hati penyewa dan ada yang tidak beroperasi langsung.
Sikap peniaga terutama di kawasan lot depan di kompleks berkenaan yang enggan menjalankan perniagaan menyebabkan orang ramai menganggap kawasan itu seolah-olah ‘mati’ sedangkan beberapa premis terutama syarikat membaiki kenderaan di belakangnya beroperasi seperti biasa.
Pembantu kedai komputer, Saharani Abdullah, berkata majikannya terpaksa banyak melakukan pemasaran di luar berikutan perniagaan di pekan francais itu kurang mendapat sambutan orang ramai.
Beliau berkata, walaupun kawasan berkenaan cantik dan menarik, beliau tidak tahu mengapa kawasan perniagaan itu tidak maju.
“Nasib baik majikan saya mempunyai cawangan di Kluang yang agak baik perniagaannya selain mendapat kontrak kerajaan untuk mengelak terus mengalami kerugian,” katanya yang mendakwa majikannya sudah menjalankan perniagaan selama satu setengah tahun di situ.
Pengusaha klinik homeopati, Dr Ariffin Mansor, berkata setakat ini, sambutan orang ramai di kawasan berkenaan kurang memuaskan dan beliau banyak bergantung kepada pelanggan tetap.
Beliau berkata, masalah berkenaan kurang sambutan mungkin disebabkan kekurangan promosi walaupun lokasi baik di tepi jalan dan berdekatan kawasan perumahan.
“Saya cadangkan supaya pekan francais ini disediakan bank atau pejabat pos untuk menggalakkan orang ramai datang sini. Selain kurang promosi, mungkin Mara boleh membantu dengan mengadakan lebih banyak papan tanda yang menunjukkan lokasi pekan francais,” katanya yang juga sudah menjalankan perniagaan selama satu setengah tahun di situ.
Selain itu, beliau turut meminta Mara mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang ‘hangat-hangat tahi ayam’ sehingga menyebabkan peniaga lain di sini menerima tempias selain menyekat peluang orang lain yang bersungguh-sungguh untuk menjalankan perniagaan.
“Sepatutnya, mana-mana penyewa yang menutup premis masing-masing lebih tiga bulan dikenakan tindakan oleh Mara dengan premis itu ditawarkan kepada orang lain yang benar-benar ingin meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.
Setiausaha Persatuan Pekan Francais Mara Pulai, Samsudin Ismail, berkata kawasan pekan francais berkenaan mempunyai sebanyak 49 lot perniagaan dengan empat blok bangunan iaitu A, B, C dan D.
Katanya, mengikut catatan Mara, ada sebanyak 29 penyewa di kawasan berkenaan tetapi yang aktif hanya beroperasi membabitkan sebanyak 15 lot.
“Ada dua isu di sini iaitu sebanyak 24 kedai kedai kosong yang tidak diisi, manakala sebanyak 14 kedai yang sudah diisi tetapi tidak berniaga atau sebahagiannya pula berniaga sesuka hati sehingga ada yang hanya membuka kedai dua tiga hari seminggu dengan alasan tiada pelanggan,” katanya.
Samsudin berkata, selain itu, bahagian blok B yang menjadi bahagian hadapan Pekan Francais itu memberikan persepsi tidak baik kepada orang ramai apabila hanya enam daripada 16 lot kedai yang ada di situ diisi oleh peniaga yang aktif.
“Ia menimbulkan persepsi yang tidak baik kepada orang ramai. Sepatutnya, penyewa yang tidak berniaga selepas diberikan peluang dikenakan tindakan oleh Mara. Ia merugikan rakan lain yang betul ingin berniaga,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan sejak tiga tahun lalu.
apa nak jadi la dgn Mara nih... makin lama makin teruk plak..
ReplyDelete