Sumber: Berita Harian
2010/05/03
PADANG RENGAS: Kerajaan Perak mendesak Majlis Amanah Rakyat (Mara) segera menyiapkan pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kangsar di Liman Kati, dekat sini, yang terbengkalai akibat kegawatan ekonomi tahun lalu sehingga menjejaskan banyak peluang pelajar untuk mendapat pendidikan terbaik di sekolah seperti itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pembinaan MRSM itu terbengkalai di tahap 41 peratus pada Ogos 2008 selepas kontraktor yang dilantik menarik diri dan menyerahkan kembali projek berkenaan selepas mengalami masalah kewangan akibat kenaikan kos mendadak besi dan bahan binaan lain.
Beliau berkata, projek itu yang mula dibina pada 2007 dengan kos RM40 juta sepatutnya sudah siap dibina dan MRSM itu membuat pengambilan tahun ini. Katanya, walaupun projek itu dibiayai Kerajaan Pusat, kerajaan negeri mahu memastikan kemudahan pendidikan penting itu disiapkan.
“Saya sudah maklumkan kepada Mara supaya segera menyiapkan MRSM Kuala Kangsar dan saya difahamkan Mara menyenaraikan projek itu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) sebagai projek keutamaannya.
"Saya mahu Mara memberi perhatian khusus kepada projek ini kerana pembinaan bangunannya sudah capai 41 peratus, jadi takkan nak biar begitu saja. Ini akan jadi projek sakit atau gajah putih yang terbiar begitu saja," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis bersama penduduk Kampung Paya Lintah, dekat sini.
Terdahulu, Zambry meninjau sekitar bangunan projek MRSM Kuala Kangsar yang terbengkalai serta menghadiri beberapa majlis termasuk pembinaan terowong projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik Ipoh-Padang Besar di pekan Padang Rengas.
Zambry berkata, kini tambahan sebanyak RM103 juta diperlukan bagi menyiapkan bangunan itu termasuk pembesaran projek serta menyediakan kelengkapannya.
"Dari segi kapasiti asalnya MRSM itu dirancang untuk menampung 700 pelajar saja namun ada perubahan dibuat membolehkannya menempatkan sehingga lebih 1,000 pelajar," katanya
No comments:
Post a Comment